Senin, 30 Desember 2013
Minat dalam dagangan forex kian mekar
BILANGAN firma yang menawarkan kursus dalam bidang dagangan mata wang asing (forex) bak cendawan tumbuh selepas hujan sejak beberapa tahun lalu.
Bahkan, banyak iklan mereka terpampang di dada akhbar menampilkan kursus-kursus forex bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dalam bidang ini.
Ada di antara iklan-iklan itu yang menjanjikan pulangan tinggi apabila berdagang dalam forex, lantas menggalak orang ramai mengikuti kursus itu.
Tinjauan Ekoniaga di akhbar-akhbar setempat termasuk Berita Harian, The Straits Times dan The New Paper menunjukkan terdapat lebih lapan syarikat yang menawarkan kursus forex seperti nama-nama terkenal Power Up Capital, FX1 Academy dan JF Lennon Institute of Financial Science.
Dalam akhbar ini sahaja, terdapat sekurang-kurangnya tiga syarikat yang pernah mengiklankan kursus forex seperti syarikat Rapid Merchant Capital Pte Ltd, Lush Lifestyles Pte Ltd dan Ranks Seminar.
Menurut syarikat-syarikat ini, bilangan pelajar Melayu yang ingin mengikuti kursus forex kian bertambah.
Ketika kami baru-baru memperkenalkan kursus forex pada 2008, bilangan pelajar Melayu tidak ada langsung.
Kini setiap kelas sekitar 10-20 peratus daripada pelajar kami seramai 50 hingga 80 orang di setiap kelas adalah orang Melayu, jelas seorang jurulatih forex di FX1 Academy, Encik Ko Heng Whye.
FX1 Academy telah mengajar 2,000 hingga 3,000 pelajar sejak memperkenalkan kursus itu.
Oleh kerana minat yang meningkat di kalangan masyarakat Melayu, Lush Lifestyles yang dimiliki Encik R. Varatharajan menjadikan masyarakat Melayu sebagai salah satu kumpulan sasarannya di samping masyarakat India.
Malah, firma itu yang mula meletakkan iklan memasarkan kursus forex mereka di akhbar Berita Harian.
Syarikat Rapid Merchant Capital pula merupakan satu-satunya syarikat yang menawarkan kursus forex dalam bahasa Melayu ketika ini.
Menurut frma-firma itu, para pelajar Melayu datang daripada pelbagai latar belakang seperti guru, teknisyen dan pesara yang ingin mempelajari selok-belok dagangan forex.
Bagi para pelajar yang mengikuti kursus forex, yuran yang mereka bayar bagi kursus itu bukan murah. Berdasarkan tinjauan, kursus tiga hari boleh mencapai $2,000 hingga $5,000.
Kebanyakan syarikat ini menawarkan khidmat sokongan selepas kursus seperti membenarkan pelajar berkomunikasi dengan jurulatih mereka untuk mendapatkan bantuan.
Di dalam kursus itu, para peserta antara lain akan mempelajari strategi dalam dagangan forex, analisis teknikal dan paling penting ialah pengurusan risiko.
Forex merupakan pasaran paling besar, dengan mudah tunai (liquid) terbesar di dunia.
Nilai dagangannya purata melebihi AS$3.6 trilion ($5 trilion) setiap hari dan sekitar 35 peratus daripada jumlah itu merupakan dagangan runcit.
Pasaran forex juga dibuka 24 jam sehari, membolehkan para pelabur berdagang tidak kira masa, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rapid Merchant Capital, Encik Mohd Norazam Dato Muhammad.
Beliau merupakan pedagang forex profesional pertama memperkenalkan kursus forex di Malaysia pada 2005.
Beliau telah membangunkan seminar awam analisis teknikal asas dan lanjutan yang diadakan setiap minggu sejak 2005 di Hotel The Legend di Malaysia.
Menurut beliau, pasaran forex juga amat telus kerana para pedagang boleh melihat turun naik mata-mata wang asing utama di dunia seperti dolar Amerika dan euro.
Strategi dalam berdagang mata wang asing boleh dipelajari untuk membolehkan para pelajar berdagang dengan berjaya.
Namun berdagang dengan membuat ramalan merupakan sesuatu yang tidak harus dilakukan.
Salah seorang pedagang yang menjadi contoh saya ialah Encik Dan Zanger, seorang pedagang di Wall Street yang paling banyak meraih untung dan berjaya mengubah AS$11,000 kepada AS$18 juta dalam tempoh 18 bulan, katanya.
Namun, beliau menegaskan para pelabur baru harus bersikap realistik apabila baru berjinak-jinak dalam dagangan forex.
Encik Ko menambah terdapat iklan-iklan di akhbar yang meletakkan keuntungan tidak munasabah yang begitu tinggi sehingga 1,000 peratus sebagai gimik untuk menarik perhatian orang ramai.
Jumlah keuntungan yang boleh diterima bagi seorang pelajar yang baru berjinak-jinak dalam dunia dagangan forex ialah sekitar 6 peratus sebulan setelah mereka belajar teknik-teknik selama enam bulan hingga dua tahun.
Bagi yang lebih berpengalaman, mereka boleh mendapat keuntungan 10-20 peratus sebulan, tambah Encik Ko lagi.
Beliau menekankan bahawa seperti pelaburan lain, dagangan forex juga mempunyai risiko kerugian.
Malah, jika dibandingkan dengan dagangan saham, ketidaktentuan dalam pasaran forex jauh lebih tinggi menjadikan pengurusan risiko amat penting.
Oleh itu firma-firma seperti Lush Lifestyles dan Rapid Merchant Capital memastikan para pelajar mereka tahu risiko-risiko yang mereka hadapi termasuk kerugian.
Bagi mereka yang pertama kali menghadiri previu saya, saya tidak akan tekankan pulangan tetapi sebaliknya menekankan pentingnya mereka menguruskan risiko mereka.
Oleh kerana forex merupakan satu pasaran yang mempunyai leverage (atau penggunaan pinjaman bagi menampung pelaburan) yang tinggi, kegagalan pelabur dalam menguruskan pinjaman mereka dengan baik boleh menyebabkan ia memakan modal mereka, jelas Encik R. Varatharajan.
Bagi pelabur Islam pula, soalan kehalalan dalam dagangan forex juga menjadi satu persoalan yang sering diutarakan.
Majoriti cendekiawan Islam bersetuju menyatakan bahawa dagangan forex yang dijalankan dalam satu waktu atau on the spot basis dibenarkan.
Bagaimanapun, urus niaga forex menggunakan leverage adalah haram kerana ia dikira menjual mata wang yang bukan dimiliki pelabur.
Isu halal dagangan forex ini masih belum ada jawapan muktamad kerana para pakar berlainan pandangan.
Sumber: Cyberita
Share
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar