Senin, 17 Februari 2014

Naib Presiden Umno sokong Umno perlu dibersihkan

Oleh Md Izwan September 02, 2013
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal menyokong gesaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya pemimpin baru dan muda diberikan peluang dalam Umno bagi membersihkan parti itu, menjelang pemilihan parti Oktober depan.

Shafie berkata, Umno memerlukan suntikan semangat daripada golongan muda demi memastikan parti tersebut terus relevan dengan peredaran zaman.
"Proses peremajaan seperti gesaan Dr Mahathir memang penting untuk mana-mana organisasi politik.

 “Untuk menjadi relevan pada masa depan, golongan muda ini penting untuk parti," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Karnival Usahawan Luar Bandar 2013 di Sri Pentas, pagi ini.

Beliau berkata, golongan muda tidak sepatutnya disekat dan dipinggirkan daripada arus politik khususnya dalam Umno, kerana pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti golongan ini bakal menjadi penentu kemenangan parti yang bertanding.
"Jadi, pengisian dalam kepimpinan diperlukan dan kita tidak harus mengekang, kita tidak harus pinggirkan mereka.
"Pada PRU14, 67 peratus anak muda ini adalah pengundi yang akan memilih kepimpinan," katanya.

Bagaimanapun, Shafie berkata, proses peremajaan yang dilalui Umno berada pada landasan yang tepat, ia berbeza dengan parti pembangkang yang dianggap masih lagi bergantung kepada pemimpin lama sehingga kini.
"Proses peremajaan dalam Umno sudah matang, sehingga kepimpinan Presiden ke-6, di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak.
"Ini berbeza dengan pembangkang, daripada zaman Tunku sehingga kini, Lim Kit Siang masih dalam DAP," katanya.

Pemilihan Umno yang akan diadakan secara serentak pada 19 Oktober depan untuk memilih pemimpin di peringkat bahagian dan pusat bukan saja penting untuk kelangsungannya menghadapi pilihan raya akan datang, bahkan juga menjadi medan ujian kepada ahli peringkat akar umbi yang pertama kali diberi peluang memilih pemimpin untuk mencorakkan parti itu.

Jika dulu hanya kira-kira 2,500 perwakilan terpilih menentukan pemimpin di peringkat atasan tetapi kini peluang itu diperluaskan kepada kira-kira 150,000 perwakilan daripada lebih 20,000 cawangan Umno di seluruh negara.
Perhimpunan Agung Khas Umno pada Oktober 2009 meluluskan pindaan iaitu perwakilan bakal menentukan kepemimpinan Umno dengan menghapus sistem kuota, persidangan mesyuarat perwakilan secara serentak dan menambah bilangan ahli jawatankuasa lantikan Wanita.

Maka, peluang ini perlu digunakan dengan sebaik-baiknya dan mereka berjumlah lebih 150,000 ini seharusnya tidak lagi mengikut acuan yang pernah digunakan 2,500 perwakilan sebelum ini yang begitu mudah diatur serta ditentukan telunjuknya. - 2 September, 2013.
The Malaysian Insider

Tidak ada komentar:

Posting Komentar